Tuesday, July 21, 2009

Pembahagian Harta Pusaka

Perempuan mewarisi pusaka,

Lelaki menyandang saka.

Topik yang paling hangat untuk diperkatakan dan sering disalah anggap dalam Adat Perpatih ialah hal pembahagian harta pusaka yang mana lebih berpihak kepada perempuan. Disini saya akan terangkan sedikit tentang hal pembahagian harta mengikut Adat Perpatih.

Mungkin ada diantara anda yang takut untuk berkahwin dengan perempuan yang mengamalkan Adat Perpatih ataupun perempuan yang berasal Negeri Sembilan. Kononnya bimbang semua harta pusaka akan jatuh ke tangan isteri. Jika anda berfikiran begitu anda silap 100%. Diharap selepas membaca artikel ini anda akan faham dan membuang ideologi karut yang anda pegang selama ini.

Pemberian pusaka kepada perempuan dalam adat ini ialah pemberian tanah adat. Tanah adat ini merupakan warisan turun-temurun sesuatu keluarga. Ini bertujuan agar perempuan dalam Adat Perpatih, walau bagaimana miskin dan papa sekalipun dia tidak akan merempat atau menjual maruah untuk hidup. Jika dia pulang ke kampong, dia masih ada tanah untuk dikerjakan ( rata-rata masyarakat Minangkabau pada masa dahulu adalah petani ).

Berbeza pula jika tanah atau harta itu diperolehi sebagai harta sepencarian maka harta itu akan dibahagikan mengikut Hukum Faraid ( tidak ada kena-mengena dengan hal tanah adat ).

Saya harap anda telah faham mengenai hal ini. Jadi saya rasa tiada masalah jika anda ingin mengahwini perempuan dalam Adat Perpatih selepas ini.

Lima Prinsip Utama Dalam Adat Perpatih

Adat Perpatih mempunyai lima prinsip utama.

  • Keturunan dikira melalui nasab ibu: Adat Perpatih memberi keistimewaan kepada perempuan yang dianggap bonda kandung iaitu ibu yang melahirkan anggota-anggota masyarakat. Seseorang individu itu adalah anggota suku ibunya dan bukan anggota suku bapanya.
  • Tempat Kediaman adalah di kawasan ibu isteri: Apabila berlangsungnya sesuatu perkahwinan, si lelaki akan meninggalkan kampung halamannya dan menetap di kawasan ibu isterinya sebagai orang semenda. Pada zaman dahulu si lelaki akan mengusahakan tanah keluarga isterinya.
  • Perempuan mewarisi pusaka, lelaki menyandang saka: Hanya lelaki sahaja yang berhak menyandang saka (jawatan-jawatan dalam adat) manakala perempuan adalah mewarisi harta pusaka keluarga ibunya.
  • Perkahwinan seperut atau sesuku adalah dilarang: Dalam sesuatu perut dan suku, hubungan adalah rapat dan si lelaki menganggap perempuan dalam perut atau sukunya adalah saudara perempuannya. Begitu juga sebaliknya. Oleh itulah perkawinan sesama suku ini adalah terlarang. Perempuan yang berkahwin sesama suku akan hilang haknya untuk mewarisi harta pusaka ibunya manakala lelaki pula akan hilang hak untuk menyandang sebarang jawatan dalam adat.
  • Orang luar boleh menjadi ahli sesuatu suku: Untuk tujuan perkahwinan atau waris mewarisi, dibenarkan orang luar untuk menjadi ahli sesuatu suku dengan cara melalui upacara berkedim. Dalam upacara ini seseorang itu akan bersumpah taat setia dan bersaudara dengan ahli-ahli suku yang akan disertainya.

Hirarki Dalam Adat Perpatih


Perut
Unit sosio-politik terkecil dalam adat Perpatih. Dianggotai oleh keturunan yang sama ( sebelah perempuan ). Mereka biasanya tinggal dalam kawasan yang sama dan hubungan mereka sangat rapat.

Buapak
Ketua bagi setiap Perut. Dilantik oleh anggota-anggota Perut.

Lembaga
Ketua bagi Suku. Setiap Suku akan melantik seorang Lembaga yang digelar Dato’ Lembaga untuk menyelesaikan hal-hal berkaitan adat.

Undang
Unit pembahagian kawasan pentadbiran disebut Luak. Terdapat 4 Luak Besar di Negeri Sembilan iaitu Luak Rembau, Sungai Ujong, Johol dan Jelebu. Luak-luak ini ditadbir oleh seorang Undang. Undang-undang ini dilantik oleh Lembaga-lembaga yang berada di dalam Luak masing-masing.
Terdapat Luak kelima yang dipanggil Luak Tanah Mengandung yang terdiri daripada Luak-luak Kecil iaitu Luak Ulu Muar, Terachi, Inas, Gunung Pasir dan Jempol. Luak-luak Kecil ini ditadbir oleh Penghulu Luak. Penghulu Luak tidak terlibat dalam pemilihan Yang Dipertuan Besar.

Yang Dipertuan Besar.
Pemerintah Negeri Sembilan yang berketurunan Raja Pagar Ruyung. Dilantik oleh 4 orang Undang iaitu Undang Luak Rembau, Sungai Ujong, Johol dan Jelebu setelah Undang-undang ini mendapat satu keputusan dalam mesyuarat.

Suku-suku Yang Terdapat Di Negeri Sembilan

Suku-suku yang terdapat dalam Negeri Sembilan.
1. Biduanda / Waris
2. Batu Hampar
3. Paya Kumbuh
4. Mungkal
5. Tiga Nenek
6. Seri Melenggang
7. Seri Lemak
8. Batu Belang
9. Tanah Datar
10. Tiga Batu
11. Anak Acheh
12. Anak Melaka

Pengenalan Adat Perpatih

Adat Perpatih berasal dari tanah Minangkabau, Sumatera, diasaskan oleh seorang pemimpin Minang bernama Sutan Balun yang bergelar Dato' Perpatih Nan Sabatang. Adat ini adalah amalan dan peraturan hidup yang ditentukan bagi masyarakat Minangkabau yang rata-ratanya adalah petani ketika itu. Tidak ada tarikh yang tepat dicatatkan bila adat ini diwujudkan. Tetapi Adat Perpatih telah dibawa ke Semenanjung Tanah Melayu (Semenanjung Malaysia) oleh perantau-perantau Minangkabau pada abad ke 14 Masehi.
Di Malaysia, Adat Perpatih ini masih lagi wujud dan diamalkan oleh masyarakat Melayu di Negeri Sembilan dan sebahagian dari Melaka terutamanya Masjid Tanah. Majoriti mereka adalah keturunan Melayu Minangkabau.

Rombongan orang-orang Minangkabau yang ke Rembau ialah Datuk Lelo Balang, datang dengan pengiringnya dan orang-orang dari Batu Hampar dan Mungkal. Mereka datang ke Rembau, Negeri Sembilan dari Kampung Tigo Nenek. Kemudian satu rombongan orang-orang Minangkabau datang dari Kampung Sari Lemak yang diketuai oleh Datuk Puteh. Datuk Puteh terkenal sebagai seorang pawang, dukun, bomoh atau ahli kebatinan telah memberikan nama kepada tempat bertakhtanya Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan. Nama asal Seri Menanti adalah diambil daripada Padi Menanti. Pertukaran nama dari Padi Menanti ke Seri Menanti adalah disebabkan perkataan Padi dalam bahasa Jawa bererti Seri.

Begitulah asal mula perkembangan gelombang kedatangan orang-orang Minangkabau ke Negeri Sembilan.